Thursday, January 27, 2011

ISLAM adalah cara hidup. . .

 

 Pengenalan kepada Islam. . .

Perkataan Islam berasal daripada perkataan Arab (aslama, yuslimu, islaman) yang bermaksud tunduk, patuh dan ia juga bermaksud selamat, sejahtera serta damai.

Nama Islam itu sendiri adalah diberi oleh Allah, Tuhan sekalian alam. Agama Islam adalah agama yang mentauhidkan Allah dan telah lama wujud bermula dengan Nabi Adam a.s. sehingga Nabi terakhir Nabi Muhammad s.a.w.

Cuma yang membezakan (antara nabi-nabi) adalah dari segi syariat. Islam dari segi istilah Islam adalah cara hidup. Cara bagaimana manusia perlu mengatur hidup mereka di atas dunia.

Ia adalah agama wahyu yang diperturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui malaikat Jibril a.s. Ia juga bermaksud apabila manusia di bumi ini menerima Islam dalam segenap aspek kehidupan mereka, maka Allah SWT tidak rasa ragu-ragu untuk memberi keselamatan kepada mereka, kerana Dialah sahaja yang Maha memberi keselamatan dan boleh menarik semula keselamatan itu apabila manusia sudah semakin ingkar kepada arahan dan larangan-Nya.

Islam adalah cara hidup Islam yang sifatnya sempurna kerana ia adalah agama Allah Yang Maha Sempurna, adalah satu cara sistem hidup manusia yang berpaksikan kebenaran. Kesempurnaan sistem hidup ini merangkumi aspek pendidikan dan pembelajaran, kekeluargaan, kemasyarakatan, politik, ekonomi, ketenteraan dan sebagainya.

Sesungguhnya cara hidup yang dianjurkan oleh Islam adalah yang terbaik dan terindah yang tiada tolok bandingnya dengan ajaran-ajaran agama lain. Semasa zaman jahiliyah dahulu, kita dapati masyarakat hidup tanpa nilai-nilai murni, tiada kesejahteraan hidup, tiada jaminan untuk mengecap kebahagiaan, hidup dalam ketakutan, huru-hara, maksiat berleluasa dan sebagainya.

Kita dapati yang kaya berkuasa, yang miskin dijadikan hamba abdi, yang kuat menindas yang lemah, yang berkuasa membuat kejahatan dibiarkan tetapi yang miskin membuat kejahatan diseksa. Ini berlaku adalah kerana tidak ada panduan hidup yang hakiki dan setiap puak ada undang-undang tersendiri yang boleh dipinda-pinda mengikut hawa nafsu mereka.

Mana-mana budaya atau cara hidup yang tidak diakui oleh Islam maka cara hidup yang sedemikian adalah batil dan tidak boleh menjamin kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat.

Begitu juga dengan adat-adat yang diguna pakai oleh sebilangan masyarakat hari ini, jika adat-adat yang diamalkan sejak nenek moyang kita itu menyeleweng daripada landasan Islam maka adat-adat tersebut tidak boleh dipakai dan dilarang oleh Islam, malah ia bukan dari amalan dan pegangan para sahabat, tabiÕin dan ulama hingga sampai hari akhirat.

Tetapi apabila Islam itu dijadikan cara hidup, adakah kehidupan kita ini mengikut cara Islam yang sebenarnya? Cuba kita renung sejenak, adakah cara kita menguruskan diri, rumah tangga kita dan sebagainya mengikut Islam? Adakah hubungan kemasyarakatan kita hari ini berpaksikan Islam?

Ini semua perlu kita kaji balik untuk mendapat jawapan yang baik kerana jika berlaku kepincangan dalam pengurusan kita ini bermakna cara yang kita gunakan adalah salah dan lari daripada kehendak Islam.

Rukun-rukun Islam

Ia mengandungi lima rukun, ia tidak boleh ditinggalkan sama sekali, apabila seorang Muslim mengaku dirinya Islam, dia mesti melakukan kelima-lima rukun tersebut tanpa boleh meninggalkan salah satu daripadanya, kerana ia boleh dianggap terkeluar daripada Islam.

1. Mengucap dua kalimat syahadah.
2. Mendirikan solat (fardu lima waktu).
3. Berpuasa pada bulan Ramadan.
4. Mengeluarkan zakat.
5. Menunaikan haji ke Baitullah bagi mereka yang mampu melakukannya.

Prinsip dasar Islam yang kekal Islam tidak pernah membiarkan umatnya hidup meraba-raba tanpa hala tuju yang tidak jelas, justeru, Islam meletakkan beberapa dasar sebagai prinsip yang mesti dipegangi dan menjadi pra-syarat menjadi seorang Muslim yang benar-benar diterima di sisi Allah SWT.

1. Akidah: Ia menjadi pra syarat pertama apabila seorang itu mengaku sebagai seorang yang berpegang kepada agama Islam, ia menghubungkan antara seorang hamba dengan Maha Pencipta, tanpanya ia boleh mengakibatkan seseorang itu akan jadi murtad atau berlaku syirik kepada-Nya.

2. Syariat: Iaitu pelaksanaan hukum Islam sebagai bukti kekuatan akidah yang ada dalam diri Muslim, ia juga dijelmakan dalam bentuk ibadat khusus seperti solat dan sebagainya, juga termasuk ibadat umum.

3. Akhlak: Ia merupakan penjel -amaan budi luhur, sopan santun yang positif yang diajarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

4. Aspek dorongan kekuatan seperti jihad, amar makruf dan nahi mungkar.

Ciri-ciri keistimewaan Islam Islam merupakan agama paling istimewa dan praktikal dengan kehidupan manusia dan menepati kehendak naluri sifat semula jadi manusia. Keindahan dan keistimewaan Islam dapat dilihat pada beberapa aspek yang menjadikan Islam itu sebagai sebuah agama yang menjadi dasar kehidupan umat manusia.

1. Rabbaniyah (Ketuhanan). Rabbaniyah bermakna Islam yang merangkumi hukum hakam, konsep, prinsip dan nilai-nilai peraturan hidup manusia adalah mutlak milik Allah SWT.

Islam agama Allah SWT dan agama-agama yang lain tidak diterima oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya agama yang diredai Allah SWT adalah agama Islam. (Surah Ali-Imran ayat 19).

Firman-Nya lagi yang bermaksud: Sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam maka dia termasuk dalam golongan mereka yang rugi di akhirat nanti. (Surah ali-Imran ayat 85 ).

Islam dicipta oleh Allah SWT manakala agama-agama lain adalah hasil ciptaan idea dan falsafah serta pandangan manusia. Sesiapa yang menganut agama lain adalah sesat.

2. Syumuliyah (Lengkap). Syumuliyah bermakna bahawa Islam itu lengkap dan sempurna malah tiada cacat celanya yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Segala apa yang diterangkan oleh Islam adalah benar dan nyata belaka.

Segala apa yang dihadapi oleh manusia semuanya terdapat penyelesaian dalam al-Quran sedikit pun tidak ditinggalkan. Allah SWT mengetahui kehendak dan kekurangan manusia maka dengan sebab itulah manusia diberi peraturan hidup yang mampu memenuhi keperluan manusia.

3. Waqi'iyah (Berada dalam kenyataan). Al-Waqi'iyah bermaksud ajaran Islam adalah bersifat praktikal dan sesuai diamalkan dalam kehidupan manusia. Apa-apa persoalan yang ditimbulkan oleh manusia yang bersangkut paut dengan kehidupan mereka dapat diselesaikan oleh Islam melalui ajaran-ajarannya yang benar lagi tepat sekali.

Misalnya bagi menyelamatkan nasab dan keturunan manusia Islam menyarankan berumah tangga dan mengharamkan zina serta meletakkan hukum rejam atau sebat bagi penzina dengan tujuan menjaga kehormatan manusia.

Ajaran Islam tidak ada kesangsian dan syak wasangka pada kebenaran dan pelaksanaanya. Segala peraturan yang di buat oleh Islam sama ada ibadat, sosial, pentadbiran dan seumpamaya adalah begitu indah dan menepati kehendak manusia.

4. Alamiyyah (Kesejagatan). Alamiyyah bermaksud ajaran Islam adalah sesuai untuk semua manusia tanpa mengira bangsa, keturunan, warna kulit, tempat dan zaman. Alamiyyah Islam membawa keadilan sejagat kepada seluruh alam terutamanya manusia.

Keadilan Islam bukan hanya terbatas kepada individu, puak, keturunan, warna kulit dan sempadan malah keadilan Islam adalah alamiyyah iaitu menyeluruh. Ini terbukti apabila Rasulullah s.a.w. telah menolak diringankan hukuman potong tangan ke atas Fatimah binti al-Aswah seorang wanita golongan bangsawan Bani Makhzum yang telah mencuri.

Demikian juga diriwayatkan bahawa Baginda s.a.w. sendiri akan memotong tangan anaknya Fatimah sekiranya dia mencuri. Sudah jelas dan amat nyata sekali kepada kita bahawa Islam itu adalah agama yang indah dan memenuhi kehendak manusia.

Islam menjamin kehidupan yang hakiki dan memberi kesejahteraan abadi kepada manusia di akhirat.

Ciri-ciri keunggulan Islam

1. Persamaan (kesamarataan): Sesungguhnya Allah SWT akan memberi pahala yang sama kepada kaum lelaki dan wanita apabila melakukan amal ibadat tanpa dibezakan mengikut gender (jantina), begitu juga saf hadapan di masjid bukan dikhususkan kepada golongan hartawan atau pemimpin tertentu, malah disediakan kepada siapa yang datang lebih awal di kalangan orang Islam dan sebagainya.

2. Keadilan: Islam berlaku adil kepada sesiapa di kalangan manusia walaupun seorang itu tidak Islam, jika dia diperlakukan tanpa alasan yang munasabah, dia perlu dibela sama seperti orang Islam dalam erti kata lain bahawa Islam melindungi hak-hak manusia.

3. Kebebasan: Islam memberikan kebebasan untuk bersuara atau memberi pendapat, kebebasan berfikir, berpolitik, beragama, berusaha dan lain-lain, tetapi bagi orang Islam tidak bermakna mereka bebas memilih cara hidup atau fahaman lain yang tidak selari dengan Islam ataupun mereka tidak boleh diberi peringatan untuk mendirikan solat atas alasan mereka bebas untuk tidak bersolat.

4. Tidak boleh membahayakan diri dan orang lain: Ia merupakan ciri utama yang pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w., dalam erti kata bahawa seorang Muslim itu tidak boleh melakukan tindakan yang boleh membahayakan dirinya sendiri atau boleh membahayakan orang lain seperti terlibat dalam aksi bahaya mat rempit atau lumba haram.

5. Islam menjamin hak asasi manusia: Ia merupakan satu jaminan yang diabaikan oleh isme falsafah ciptaan manusia.

6. Menjaga enam perkara iaitu agama, harta, akal, jiwa, kehormatan dan keturunan.

 

Mengapa aku di lahirkan. . . .

1. untuk sujud menyembah Allah
Firman Allah, maksudnya "Pada hal mereka tidak diperintah melainkan supaya menyembahAllah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetapteguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar" (Surah Al-Bayyinah 5 : 98)
2. untuk aku sebagai Khalifah di muka bumi ini
Firman Allah, maksudnya "Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnyayang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-An'am 6 : 165)
3. untuk aku menyeru kebaikan, membanteras kejahatan
Firman Allah, maksudnya "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya" (Surah Ali Imran 3 : 104)
4. Allah tidak jadikan aku sia-sia
Firman Allah, maksudnya " Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?" (Surah al-Mu'minun: 115)

Mengucap dua kalimah syahadah. . .
Daripada Saiyidina 'Umar r.a. beliau berkata:

Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorang pun di kalangan kami yang mengenalinya.

Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata:

Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya.

Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau..

Maka kami pun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya.

Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman..

Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, Kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk.

Lelaki itu berkata: Benarlah engkau..

Dia berkata lagi: Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. .

Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu. - Hadis riwayat al-lmam Muslim.

Saudara ku yang ku kasihi sekalian, seharian kita disibukan dengan kerja-kerja yang harus diselesaikan. Kita bekerja untuk menanggung keperluan diri dan keluarga supaya kita menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat seterusnya kepada agama dan Negara. Didalam kesibukan harian, kita diuji oleh Allah menghadapi pelbagai masaalah, dugaan, tekanan, penyakit dan pelbagai macam kesempitan. Dan dimasa lainnya kita pula dikurniakan kegembiraan, kesenangan, keindahan kelapangan dan pelbagai lagi nikmat yang menunjukkan kita semua hanyalah hamba kepadanya. Hamba kepada Dia Yang Maha Adil. Kita meminta dan berharap kepada sesuatu dan bukanlah kita yang memberi atau berkuasa untuk mengadakan sesuatu.

Sebelum saya teruskan menulis sekeping warkah yang didalamnya ada penceritaan, perjalanan dan pengetahuan, yang saya kumpulkan dari Alquran, hadis, pengalaman dan apa yang dipelajari selama ini, harapan saya ialah supaya dengan secebis nota ini, kita sama-sama deberikan hidayah dan petunjuk dalam perjalanan kita menuju kepadanya. Perjalanan yang telah pun kita lalui selama ini, tetapi masih tercari-cari, tidak nampak tempat tujunya atau jalan kesudahannya. Sesungguhnya dialah yang maha pemberi petunjuk dan hidayah kepada orang yang dikehendakinya.

Syurkurlah kerana kita dilahirkan sudah sediakala Islam. Itu adalah salah satu hidayah yang telah dikurniakan maka haruslah kita selami tentang agama Allah ini.


Seperti yang dinyatakan oleh Rasullullah didalam hadis diatas, islam itu terdiri dari 5 perkara dimana yang pertamanya penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu utusannya. Seterusnya solat lima waktu, puasa, zakat dan haji.

Apa yang hendak saya perbincangkan disini ialah tentang rukun islam yang pertama yang mana kita semua tahu tetapi tidak telah kita tinggalkan amalan-amalannya, rukun dan ketegasannya.

Seterusnya kita lihat didalam hadis yang lain, dari Abu Abdul Rahman Abdullah ibn 'Umar ibn al-Khatthab beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:


“lslam itu terbina atas lima perkara: Naik saksi mengaku bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu adalah Utusan Allah, Mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke baitullah dan menunaikan puasa pada bulan Ramadhan.”- Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim.

Disebut lagi oleh Rasullullah S.A.W dua kalimah tadi adalah yang pertama kemudian barulah diikuti solat dan seterusnya. Begitulah penekanan oleh Allah dan Rasulnya tetapi kita masih tidak menyedari. Seterusnya saya ambil lagi bukti-bukit pentingnya Dua Kalimah Syahadah didalam Alquran dan ibadah yang lainnya.

“Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu beribadatlah kamu kepada-Ku". [al-Anbiyaa’ : 25]

Apa yang dibawa oleh semua rasul adalah sama iaitu kalimah Tauhid. Sebagai umat islam kita juga dilaungkan Azan. Dua kalimah syahadah juga ada disebut setiap ia dilaungkan.

“Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah”(al-Jumaah: 09)

Azan itu menyedarkan manusia kepada kewajipan untuk mengadap Allah. Didalam azan disebutkan Tiada tuhan yang disembah selain Allah dan Aku naik saksi Muhammad itu pesuruhnya.

Kita lihat pula didalam Bacaan Tahyat :

“Segala penghormatan yang berkat selawat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.”

Dari perkara diatas maka disimpulkan bahawa betapa pentingnya Dua Kalimah Syahadah itu dari yang lainnya. Solat itu yang kedua diikuti puasa dibulan ramadhan, mengeluarkan zakat dan Haji.

Tanpa syahadah, tertolaklah rukun seterusnya tanpa syahadah terbatallah islam seseorang itu maka rosaklah akidah kerana syahadah adalah penyaksian tauhid hanya pada satu dan mengaku rasul itu contoh.

Syahadah juga diucapkan dengan gengaman erat sambil menunjukkan dialah Allah yang satu. Dan juga menandakan Ucapan Dua Kalimah itu satu atau pertama atau yang utama pada setiap tahyat didalam solat bila kita mengerjakan solat. Disuruhnya kita genggam menandakan itulah pegangan utama.

Kita telah ditakdirkan Allah s.w.t dilahirkan didalam keluarga islam. Secara automatiknya kita didik untuk menjadi seorang yang beragama islam dari segi akhlaknya, pakaiannya, adab sopan kemudian diajar tentang tauhid bahawasanya allah itu tuhan dan Nabi Muhammad itu pesuruhnya. Seterusnya diajar mengenal huruf-huruf Al-quran sehingga pandai membaca dan bersolat. Tiba dibulan ramadhan pula dilatih untuk berlapar dahaga kerana berpuasa. Begitulah seterusnya diajar mengenal kewajiban untuk berzakat dan haji sehingga lah menjadi dewasa lengkaplah pengetahuan kita tentang 5 rukun islam.

Tetapi adakah sudah cukup didikan yang terima selama ini untuk kita tempuhi kehidupan sebagai seorang islam atau yang lebih kualitinya seorang beriman? Apakah apa yang telah dipelajari dan diamalkan oleh kita merangkumi lahir dan batin atau kulitnya sahaja atau jasadnya sahaja.

Ucapan dua kalimah itu bagi kita hanyalah dalam bentuk perkataan sahaja. Tiada huraian selanjutnya atau tidak pernah mengambil tahu apakah ertinya. Tidak juga pernah memikirkan mengapa kalimah syahadah ini yang disebutkan paling utama oleh Rasullullah? Sedangkan dengan kalimah inilah akan bertapaknya iman seseorang islam dan dari sini jugalah datangnya keteguhan iman seseorang seperti firman Allah :

“Allah meneguhkan (pendirian) orang yang beriman dengan kalimah yang teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat” (Ibrahim : 27)

Bererti disini, Allah yang menguatkan keteguhan (iman) orang-orang yang percaya dengan yakin dan terbukti dengan amalan yang telah dilakukan, dengan kalimah(tauhid) untuk menghadapi kehidupan didunia dan di akhirat.

Kita mengaku adanya Allah dan rasulnya tetapi tidak mengikut syarat, amalan dan kesaksian pengakuan itu. Kita pada zahirnya sahaja mengaku Islam sedangkan pengakuan yang tanpa disertakan keteguhan pastinya akan luntur sebagaimana firman Allah :

“Kalau kamu bertanya mereka: Siapakah menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab Allah. Maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan daripada menyembah Allah yang sebenar (kepada menyembah yang lain) dan (Allah mengetahui) ucapan Muhammad s.a.w., ‘Ya Tuhanku sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang tidak beriman.’ Maka berpalinglah (hai Muhammad) daripada mereka dan katakanlah: Salam (selamat tinggal semuanya), kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yang buruk).” (al-Zukhruf 43: 87 – 89)

Lihatlah ketegasan Allah didalam menghukum orang yang hanya mengaku Allah itu tuhan tetapi tanpa merealisasikan didalam kehidupan seharian, dia akan dibalas dengan balasan yang buruk dimana rasullullah juga diarahkan supaya meninggalkan golongan tersebut.

Kalau kita perhatikan ayat diatas, sama lah dengan kita pada hari ini, kita mengaku Allah itu tuhan tetapi setakat mana? Setakat berkata dimulut tanpa diikut dihati. Lihatlah diri kita sendiri dan fikirkan apakah kita telah melakukan dengan perbuatan atau setakat hanya lafaz dimulut.

Kita tidak juga memahami isi kandung Al-Quran. Ada yang hanya meletakkan Al-Quran sebagai perhiasan. Jika ada pun yang membaca, bacaan Al-Quran hanyalah sebagai lagu-lagu yang sedap didengar tanpa memahami walau satu ayat.

“Sesungguhnya kami telah turunkan kepadamu sebuah kitab (Al-Quran) yang mengandungi sebab-sebab kemuliaan untuk kamu mengapa kamu tidak memahaminya” (Al-Anbiyaa : 10)

Maka jawablah kita nanti didepan Allah dihari pembalasan kemudian hari.

Begitulah kita telah dipesongkan oleh keadaan, dipesongkan islam kita oleh keadaan dan budaya kita dan sekiranya masih tidak sedar siapa lagi yang nak sedarkan diri melainkan diri kita sendiri.

Cuba bayangkan sekiranya kita diuji ditempat Bilal Bin Rabbah, atau Sumaiyyah yang amat memeritkan. Adakah masih boleh pertahankan iman? Tidak payahlah tunggu ujian sebegitu, nak makan minum pun adakalanya masih terlupa nak baca Bimillah.

Pernahkah terfikir apa yang diajarkan Rasullullah kepada para sahabat R.A. sehingga begitu teguh imannya walau baru setahun jagung memeluk islam? Dimana silapnya kita yang telah menjadi orang islam selama puluhan tahun tetapi jauh beza tingkatan imannya dengan Bilal atau Sumaiyyah? Bolehkah dikatakan Bilal dan Sumaiyyah tadi tak sama macam kita pada hari ini, dia dilebihkan oleh Allah sedangkan kita ketahui Allah itu maha adil.

Pastinya ada kelemahan didalam penekanan didalam pembelajaran agama kita hari ini.

1. Dua Kalimah Syahadah : Yang kita fahami ialah Allah itu satu, dialah tuhan yang menjadikan. Yang kedua kita faham Nabi Muhammad itu pesuruh Allah menjadi contoh akhlak kita. Sekadar menjadi ucapan ketika solat setiap hari.

2. Solat : Kita bersolat kerana takut meninggalkan solat. Ketika kecil diajar solat kerana tak mahu mendengar ibu dan bapa berleter. Sehingga dewasa solat kita hanya bacaan kosong dengan hati yang masih berangan-angan.

3. Puasa : Diajar berlapar dahaga kerana puasa tidak boleh makan minum. Berpuasa kerana malu dengan kawan-kawan, berpuasa kerana bila berbuka dapat makan sedap-sedap.

4. Zakat : Kita tahu bila dah mula bekerja dan bila tiba bulan Ramadhan.

5. Haji : Rukun islam yang kelima ni hanya untuk orang-orang tua itupun kalau berkemampuan.

Inilah rukun islam kita pada hari ini. Tanpa ada penekanan atau ketegasan didalam menjalankan rukun tersebut. Kita juga diajar untuk mencintakan dunia. Anak kecil diajar untuk belajar sehingga pandai supaya dapat ke universiti habis belajar boleh hidup senang, berpangkat terbalas juga titik peluh ayah ibu membela selama ini. Inilah tujuan hidup yang ditanamkan oleh ibubapa pada hari ini. Benarkah ini yang dituntut oleh Islam?

“Katakanlah, ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatir akan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal adalah lebih kamu cintai daripada Allah, Rasul-Nya, dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” (QS. At-Taubah: 24)

Maka apa yang tertulis didalam al-Quran itu pastinya lebih benar. Tujuan hidup semata-mata kerana tujuan matarealisitk atau ke duniawi sahaja itu adalah salah. Belajar, bekerja dan beribadah tanpa tujuan untuk mencintai Allah dan Rasulnya adalah tidak seiring dengan apa yang dituntun AlQuran. Sedangkan tujuan sebenar kehidupan ini ialah untuk mencintai Allah, Rasullullah dan berjihad dijalan Allah. Disinilah baru kita nampak islam itu bukan hanya pada ketika solat, puasa, zakat dan haji tapi islam itu adalah menjunjung sepenuhnya dihati pada setiap masa dengan tauhid yang teguh untuk mencintai Allah dan Rasullullah dan sanggup bekorban apa sahaja demi jalannya.

“Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaku” (al-Zariyat:56).

Maka setinggi mana kita belajar, setinggi mana pangkat kita, setinggi mana kedudukan kita, kembaliah kepada dua tujuan utama iaitu mencintai Allah dan Rasullullah dan itulah yang telah ditulis oleh Al-‘Aqlim yang Maha Mengatahui didalam kalimah Asy hadu anlaa ila ha illallah, Wa asy hadu anna Muhammadar Rasullullah.

Kalimah tauhid inilah yang ditegaskan pada awalnya oleh Rasullullah didalam mendidik para sahabat R.A. sehingga begitu kuat keimanan, terasa begitu rendah dirinya disisi Al-`Aliy Yang Maha Tinggi dan Mulia. Dibacakan ayat-ayat suci alquran sehingga bercucuran titisan air mata para sahabat kerana dapat menangkap dengan tepat maksudnya. Berbeza dengan kita, kita disuruh bersolat, mengaji puasa dahulu sedangkan iman kita atau tauhid kita masih belum ketentuan masih longlai sehingga setiap kali dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran tiada tindak balas dari diri yang dalam.

Cuba kita perhatikan didalam mana-mana suruhan bersolat dan zakat, Allah pasti tujukan kepada orang beriman iaitu orang yang telah bertapaknya syahadah dengan kukuh dihati bukan kepada orang islam yang belum beriman.

“Katakanlah kepada hamba-hamba ku yang beriman; Hendaklah mereka mendirikan solat dan menafkahkan sebahgian dari apa yang kami kurniakan kepada mereka sama ada Dengan merahsiakan pemberianNya itu atau Dengan terbuka; sebelum datangnya hari Yang tidak ada jual beli padanya, dan tidak ada sahabat handai (yang dapat memberikan pertolongan)” (Ibrahim:31)

Dan banyak lagi ayat-ayat yang rata-ratanya menyuruh orang yang beriman untuk melakukan kewajipan rukun Islam. Sebab itulah ada diantara kita rajin bersolat, ada yang bangkit ditengah malam, tetapi hati masih tidak tenang. Masih boleh kita dengar keluh resah tentang masaalah dunia, masih mengungkit-ungkit kesilapan orang lain, masih terbuka mulut untuk mengata, masih mengharap belas ihsan dari orang, mengharapkan pujian dari orang bila melakukan sesuatu kebaikan.

Inilah tandanya kita belum beriman, tidak kenal Zat dan sifat, asma`a, dan afa`al Allah sedangkan umur telah hampir ke penghujung. kita telah dikaburkan oleh amalan-amalan ibadah yang tidak tepat yang hanya sia-sia belaka kerana kurangnya ilmu atau tidak ada keikhlasan atau tempat tuju ibadah tersebut.

Siapa yang takut tetapi tidak berhati-hati, tiada guna takutnya itu. Siapa yang mengharapkan pahala tanpa amal, tidak berguna harapanya itu. Siapa yang niat tanpa perlaksanaan, tiada guna niatnya itu. Siapa yang berdoa tanpa usaha, tidak berguna doanya itu. Siapa yang istighfar tanpa menyesal, tiada guna istighfarnya itu. Siapa yang tidak menyesuaikan yang lahir dan batin, seperti beramal hanya pada zahirnya sahaja hatinya tidak ikhlas. Siapa yang amal tanpa ikhlas tidak berguna amalanya itu.

Abdullah bin almubarak meriwayatkan dari Abu Bakar bin Maryam dari Dhomirah dari Abi Habib berkata : Rasullullah bersabda :

“Adakalanya malaikat membawa amal seorang hamba dan mereka menganggap banyak dan mereka menyanjungnya sehingga sampai ke hadrat Allah, maka Allah berfirman kepada mereka : Kamu hanya mencatat amal hambaku, sedang Aku mengawasi isi dan niat hatinya. Hamba ku ini tidak ikhlas padaku dalam amalnya maka catatkanlah dalam sijjin”

Sedangkan kita manusia hanya pandang pada hati tetapi Allah menilai hati hambanya. Sebab itulah sebelum beramal kita perlu berilmu supaya kita tahu apa tujuan amalan, kepada siapa kita beramal dan kita sedar amalan itu hanyalah dengan izin dan kuasa dari Allah. Kita sebagai manusia tidak terdaya melakukan apa-apa. Jangan sesekali apabila kita diuji dengan bala atau penyakit kita berkata “Ya allah, tidak cukupkah lagi ibadah dan amalan yang kita lakukan selama ini?” padahal ibadah yang kita lakukan itu pun dengan kehendak Allah. Dan sekiranya kita diizinkan beribadat kepada Allah selama 500 tahun sekali pun, belum cukup untuk membalas nikmat penglihatan yang Allah kurniakan kepada kita belum dikira nikmat-nikmat yang lain lagi.

Dari Abu Hurairah R.A Berkata Nabi S.A.W :

“adakala orang berpuasa dan tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan dahaga. Adakalanya orang bangun malam dan tidak mendapat apa-apa dari bangunnya kecuali tidak tidur semata-mata, yakni tidak mendapat pahala dari amalnya.”

“Dan kami periksa semua amal perbuatan mereka, lalu kami jadikan debu yang berterbangan” (Al-Furqan:23)

Sebab itu lah jangan sekali fikir yang kununnya kita dah banyak beribadah maka kita dah selamat. Belum tentu ibadah itu diterima. Dan selamatnya kita bukan sebab ibadah atau pahala yang kita lakukan tetapi selamatnya kita adalah kerana rahmat Allah.

Sekiranya kita baru tersedar, maka segeralah bertaubat. Bertaubat bukan tunggu bila tua ketika sudah bertimbun dosa dan hijab didalam hati kita, tetapi lebih mudah sekiranya bertaubat lebih awal. Tiada pintu yang lebih luas Allah jadikan seluas pintu taubat.

“Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendakinya dan memberi petunjuk ke jalan agamanya sesiapa yang bertaubat kepadanya. (iaitu) Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan zikrullah(mengingati Allah), ketahuilah dengan zikrullah itu hati menjadi tenang.” (Al-rad : 27-28)

Allah sentiasa memberi petunjuk atau bimbingan kepada sesiapa yang bertaubat kepadanya. Maka janganlah kita takut untuk bertaubat, segerakanlah insyaallah akan dibukakan jalan kepada kita seperti yang dijanjikan Allah.

“Sebaliknya orang yang mahu menerima petunjuk (ke jalan yang benar) allah tambah hidayah kepada mereka dan memberi dorongan kepada mereka untuk bertaqwa” (Muhammad : 17)

Renungkanlah dalam diri kita. Benarkah apa yang tertulis sama dengan apa yang kita alami? Dimana letaknya kuality seorang islam itu sekiranya cukup apa yang telah kita lakukan selama ini. Rata-rata setiap perbuatan kita bukanlah semata-mata kerana Allah tetapi kerana ada sebab atau tujuan yang lain selain Mengesakan Allah padahal beribadat selain kerana Allah itu salah. Atau lebih senang difahami, beribadat tanpa betul tujuan atau syahadah itu salah. Ibadah mestilah didirikan diatas paksi keimanan yang kukuh.

Paksi Keimanan

Kesimpulannya, dari 5 rukun islam, penyaksian syahadah adalah paksi bagi yang lainnya kekuatan bagi yang lainnya kerana disinilah letaknya penyaksian tauhid. Setiap ibadah yang lainnya masih tertakluk pada pengakuan tadi. Ianya mestilah mengelilingi berpegang teguh pada paksi yang satu tadi. Tanpa pegangan, maka akan goyanglah yang lain nya bahkan boleh terkeluar dari garis peredaran yang ditetapkan sehingga terlepas entah kemana.

Peredaran dan kedudukan paksi adi bolehlah kita samakan dengan yang kita lihat seperti bulan mengelilingi bumi, dan bumi mengililingi matahari atau umpama sebatang pokong yang akarnya kukuh mencengkam ketanah pastinya setiap sesuatu yang teguh itu akan tetap utuh pada tapaknya.

“Tidakkah engkau lihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perumpamaan iaitu : Kalimah yang baik (Kalimah tauhid) adalah seperti sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjang) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang kelangit”(Ibrahim : 24)

Kekuatan inilah yang menjadi pegangan Bilal ibnu Rabbah R.A. Keteguhan yang menjadikan Sumaiyyah Khayyat masih berpegang dengan islam dan keyakinan,keutuhan iman Mush’ab bin Umair, pengorbanan nabi nuh untuk kaumnya, ketaatan Nabi Ibrahim ketika melakukan pegorbanan terhadap anak kesayangannya dan banyak lagi kisah sejarah pegorbanan hamba kepada sang maha pencipta.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari kaum mukminin, diri, dan harta mereka, bahwasanya mereka mendapatkan balasan Syurga.” (QS. At-Taubah: 111)